Articles / Newsletter

SISTEM TADAHAN AIR HUJAN BERI MANFAAT KEPADA PENGHUNI BLOK 1 DESA MENTARI
Date 21-Jul-2018 | Category | Author FRONT DESK
http://www.frontdesk.com.my/bm/index.php/2018/07/21/sistem-tadahan-air-hujan-beri-manfaat-kepada-penghuni-blok-1-desa-menteri/

PETALING JAYA, 21 Julai : Penduduk Blok 1, Desa Mentari di sini kini boleh menikmati bekalan air tambahan menerusi sistem tadahan air hujan yang dibina di kawasan perumahan berkenaan.

Tangki yang dianggarkan mampu menadah kira-kira sejuta liter air hujan setahun boleh memanfaatkan lebih 1,800 penghuni untuk kegunaan umum seperti pembersihan, perkebunan dan pengairan semasa ketandusan hujan.

Projek fasa ketiga hasil kerjasama Yayasan SPARK dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Global Environment Centre (GEC) itu merupakan satu daripada inisiatif di bawah projek W.A.T.E.R (Working Actively Through Education and Rehabilitation).

Bagi menerajui usaha perlindungan sumber air di bawah projek W.A.T.E.R, pemegang amanah Yayasan SPARK, Renuka Indrarajah berkata pihaknya menyumbang RM2.5 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi membiayai program-program pendidikan dan pelbagai inisiatif strategik yang berterusan.

“Kami percaya kerjasama rapat daripada rakan-rakan pelaburan dan pendekatan melalui pendidikan kepada komuniti mampu membawa perubahan sekali gus meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan sumber air,” katanya pada majlis pelancaran Agenda Perlindungan Air 2018-2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak 2007, Yayasan SPARK telah melabur lebih RM8 juta bagi melaksanakan fasa  pertama dan fasa kedua projek W.A.T.E.R, dengan menjadikan lima sungai sebagai ‘sungai angkat’ iaitu Sungai Way dan Sungai Penchala di Selangor, Sungai Senam, Sungai Buntong dan Sungai Kledang di Perak.

“Usahasama yang dibuat telahpun menyumbang ke arah peningkatan kualiti air sungai dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan sungai selain mengubah pemikiran penduduk yang tinggal di sepanjang lembangan sungai yang disasarkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar MBPJ Johary Anuar berkata sumber bekalan air alternatif yang diperkenalkan itu perlu diuruskan secara efektif terutama di kawasan bandar yang pesat seperti di Petaling Jaya.

“Inisiatif Yayasan SPARK dan GEC dengan pelbagai pihak berkepentingan merupakan antara  contoh merupakan antara contoh terbaik yang mampu memberi impak dan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

[ Back ] [ Print Friendly ]