Articles / Newsletter

‘Jejak air’ untuk kelestarian pengurusan air
Date 15-Dec-2020 | Category | Author Malaysia Gazette
https://malaysiagazette.com/2020/12/15/jejak-air-untuk-kelestarian-pengurusan-air/
MGF19102020_SUNGAI-CEMAR07
Seorang pekerja Air Selangor melakukan kerja-kerja merawat air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Dua, Bestari Jaya, Kuala Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

AIR sumber asli yang juga merupakan antara komoditi paling berharga untuk sesebuah
negara. Kepentingannya menyebabkan beberapa buah negara terlibat dalam konflik sehingga hampir mencetuskan perbalahan politik seperti yang berlaku antara Mesir – Ethiopia – Sudan dan Azerbaijan dan Armenia. Ini kerana penggunaan air untuk sesebuah negara tidak hanya untuk tertumpu kegunaan seharian semata- mata malah air juga penting dalam penjanaan aktiviti ekonomi negara. Infrastruktur dan kemudahan air adalah satu keperluan yang penting kepada pihak industri untuk menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi.

Peningkatan keperluan air memerlukan sesebuah negara itu untuk menguruskan
perkhidmatan air secara holistik. Selama ini pengurusan air di Malaysia lebih tertumpu dalam pengurusan sumber air, aset dan infrastruktur. Namun sejak tahun 1998 konsep ‘Jejak Air atau Water Footprint (WF) telah mula diperkenalkan terutama di luar negara.
Konsep ‘Jejak Air’ adalah satu konsep yang mana pengiraan jumlah air yang digunakan
dalam pengeluaran dan permintaan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan oleh individu dan juga kumpulan. Dalam erti kata lain, ia merupakan suatu proses kiraan air secara saintifik terhadap sesuatu produk yang bermula dari bahan mentah sehingga proses akhir pengeluaran sesuatu produk tersebut.

Selain diaplikasikan dalam penghasilan produk, konsep ini juga boleh digunapakai untuk
mengira ‘Jejak Air’ dalam aktiviti-aktiviti melibatkan perkhidmatan seperti pelancongan.
Seperti contoh dalam penghasilan beras, kiraan ‘jejak air’ ialah bermula dari proses
penanaman padi tersebut di sawah sehingga padi tersebut diproses menjadi beras.
Jika dalam sektor pelancongan pula, pengiraan ‘Jejak Air’ melibatkan aktiviti – aktiviti
perkhidmatan yang terlibat dalam sektor pelancongan tersebut seperti pengangkutan, hotel, makanan serta perkhidmatan awam. Manakala pengiraan ‘Jejak Air’ dalam industri
pembuatan bermula dari proses pembuatan tersebut dihasilkan. Sebagai contoh untuk
menghasilkan produk semikonduktor, proses pengiraan ‘Jejak Air’ adalah bermula dari
‘single cyrstal growth’ sehinggalah ‘bending molding’.

Kepentingan konsep ‘Jejak Air’ ini ialah bertujuan untuk memastikan kepentingan dalam
menjaga kelestarian sumber air agar ianya kekal dalam kuantiti yang mencukup serta kualiti yang baik untuk generasi-generasi seterusnya. Di samping itu ianya juga untuk memastikan pengoptimaan penggunaan air di dalam industri utama negara. Malah yang lebih penting ialah pengurusan air yang bersistematik ini adalah untuk memastikan keselamatan air untuk kegunaan masyarakat. Oleh itu, kesedaran kerajaan dan orang awam dalam konsep ‘jejak air’ ini perlu dipertingkatkan untuk memastikan kelestarian ini dapat dijaga. Beberapa buah negara maju telah memulakan langkah untuk memasukkan informasi berkaitan ‘Jejak Air’ ke dalam label-label produk- produk runcit terutama bahan makanan mentah dan bahan makan terproses melalui skim ‘eco-labelling’.

Ini bertujuan agar orang awam mengetahui berapa banyak air digunakan dalam menghasilkan produk-produk. Tindak balas orang awam yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memastikan kelestarian air akan membolehkan pihak industri turut sama terlibat dalam memastikan pengurusan air yang mengambil kira penggunaan air dalam penghasilan produk. Negara- negara seperti China dan Sepanyol amat aktif dalam menjuarai agenda “Jejak Air’ ini terutama dalam sistem pengurusan produk-produk import mereka. Pada ketika ini, China telah melaksanakan sistem permit discaj air tercemar untuk mengawal pengeluaran air tidak bersistematik. Negara tersebut juga telah melaksanakan Penilaian “Jejak Air” dalam industri penternakan. Manakala negara Sepanyol telah menjalankan pengiraan ‘Jejak Air’ dalam industri pertanian dan merupakan negara Eropah pertama yang melaksanakan polisi tersebut. Kedua-dua buah
negara tersebut juga telah melaksanakan kawalan perdagangan dengan negara-negara luar dalam melaksanakan sistem pengawalan penggunaan air yang lebih bersistematik.

Dalam melangkau sempadan negara, kepentingan pengiraan air dengan menggunakan konsep ini dapat dikawal dengan menjadikannya sebagai alternatif sumber air. Ianya melalui penjimatan penggunaan air melalui kawalan eksport dan import yang berstrategi antara negara yang mempunyai sumber air yang banyak dan negara yang mempunyai sumber air yang terhad. Proses eksport-import ini akan menyebabkan aktiviti kehilangan air oleh itu tindakan bersistematik pengurusan air perlu dilaksanakan segera untuk memastikan objektif kelestarian air dapat dicapai. Penglibatan negara-negara kuasa ekonomi dalam agenda ‘Jejak Air’ ini adalah petanda baik bahawa isu kelestarian air telah melalui fasa evolusi dari aspek pengurusan air yang bersistematik.

Di Malaysia, konsep ‘Jejak Air’ masih dalam fasa penyelidikan sama ada di institusi
penyelidikan dan universiti awam. Kajian yang lebih mendalam perlu diteruskan agar
kepentingannya dapat difahami oleh pembuat dasar, industri dan orang awam.
Konsep ini juga dijangka dapat memacu ekonomi negara sama ada peluang pekerjaan baharu dan aktiviti ekonomi yang lebih mampan berpandukan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals- SDG). Amalan konsep ‘Jejak Air’ di pihak industri dijangka dapat membuka peluang pekerjaan baru dengan kewujudan pegawai yang memeriksa dan menilai ‘Jejak Air” yang ianya sama dengan pengurusan tenaga (Energy Manager) serta pengurus pengetahuan (Knowledge Manager) yang sudah menjadi jawatan yang penting dalam sesebuah organisasi. Justeru, kefahaman yang jelas membolehkan konsep ini menjadi sebahagian dalam polisi transformasi sektor air.

Oleh: Prof Dr Zainura Zainon Noor, dan
Dr. Muhammad Najib bin Mohamed Razali
Pusat Kecemerlangan Kelestarian,UTM

[ Back ] [ Print Friendly ]