Articles / Newsletter

Kempen Bebas Beg Plastik
Date 12-Jun-2018 | Category | Author Harian Metro, Nurul Husna Mahmud
http://www1.hmetro.com.my/hati/2018/06/348495/kempen-bebas-beg-plastik

 

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan kempen CLEAN Bazar Ramadan dalam usaha mengurangkan penggunaan pembungkusan plastik sebagai satu amalan hidup lestari di Bazar Ramadan Jalan Telawi Bangsar, baru-baru ini.

Kempen berlangsung lima hari itu bermula 1 Jun hingga 6 Jun itu menyarankan pengunjung bazar membawa dan menggunakan bekas sendiri untuk membungkus makanan serta minuman.

Dalam hal ini, wanita sebagai penggerak dan pengurus rumah tangga boleh memainkan peranan mereka dengan memberi peringatan kepada ahli keluarga untuk mengurangkan penggunaan plastik. Amalan pengurangan plastik ini boleh dimulakan dengan diri sendiri dan keluarga. Malah, biasanya usaha ini akan menjadi lebih mudah jika si ibu atau isteri menjadi penggerak kepada amalan murni itu.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai JPS Wan Marhafidz Shah Wan Mohd Omar, plastik adalah bahan sisa pepejal kedua tertinggi menjadi punca kepada pencemaran sungai di Lembah Klang.

 

MARHAFIDZ (dua dari kanan) tidak ketinggalan mengagihkan bekas dan kad tebus ketika kempen.

"Plastik komposisi sisa pepejal kedua yang paling tinggi dihasilkan selepas sisa makanan. Ia penyebab utama sistem perparitan di Lembah Klang tersumbat selain memberi pemandangan buruk sekitar Sungai Klang.

"Disebabkan penggunaan meluas dalam produk komersial termasuk makan dan minuman ia mudah ditemui. Ciri ringan membuatkan plastik mudah 'diterbangkan' daripada tong sampah atau dibuang di tepi jalan dan apabila hujan ia akan disalurkan ke longkang yang berakhir di sungai. Ini memberi kesan negatif terhadap estetika sungai dan kualiti air," katanya.

Justeru beliau menekankan kempen berterusan perlu dijalankan termasuk ketika Ramadan di kawasan tumpuan orang ramai antaranya bazar sebagai meraih perhatian umum terhadap mengurangkan tabiat penggunaan plastik dalam urusan harian, sekali gus menanam nilai prihatin kepada kebersihan sungai.

"Walaupun RM3 bilion diperuntukkan di bawah projek Sungai Nadi Kehidupan bagi membersihkan Sungai Klang dan lapan anak sungainya, tetapi kita masih perlu bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing. Selepas tujuh tahun projek dimulakan, kami sudah mencapai 86 peratus pelaksanaan bagi mencapai kualiti air Kelas IIB.

SETIAP kali pengunjung membeli makanan menggunakan bekas makanan, mereka akan menerima cap.

"Namun kejayaan projek ini sangat bergantung kepada mentaliti dan sikap masyarakat kita. Program pendekatan awam dilihat inisiatif utama dalam mengubah minda rakyat Malaysia bahawa sungai bukan kawasan pembuangan sampah, tetapi aset penting kita.

"Terutamanya di bulan mulia yakni Ramadan dilihat peluang meningkatkan ibadat, perlu mengingatkan diri untuk mengelak pembaziran makanan selain mengurangkan kesan impak negatif terhadap sungai dan alam sekitar," katanya.

Selain agihan bekas makanan percuma, kad tebus diedarkan kepada pengunjung bazar Ramadan yang memerlukan mereka mengumpulkan tiga cap pada kad berkenaan bagi setiap kali menggunakan bekas dan beg mesra alam untuk membungkus makanan dan minuman pada hari kempen. Ganjaran berupa barangan runcit yang sebahagiannya ditaja oleh 99 Speedmart.

Kempen ini juga dianjurkan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 selari dengan tema iaitu membanteras pencemaran plastik.

[ Back ] [ Print Friendly ]