Articles / Newsletter

Tingkat kesedaran sungai bersih
Date 27-Jun-2018 | Category | Author Harian Metro, Nurul Husna Mahmud
https://www.hmetro.com.my/nuansa/2018/06/352261/tingkat-kesedaran-sungai-bersih

 

Program pendekatan Awam Fasa 5 Sungai Nadi Kehidupan (ROLPOP5) adalah inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran berkenaan pentingnya persekitaran sungai bersih.

Justeru, Pusat Persekitaran Global (GEC) terus melaksanakan kempen bergerak membabitkan komuniti setempat dalam misi meningkatkan kualiti air Sungai Klang dan Gombak daripada kelas III dan IV (tidak sesuai untuk aktiviti air) kepada kelas IIb (sesuai untuk aktiviti air) menjelang 2020.

Menurut Penyelaras GEC Adeline Tan, ketika ini program sudah masuk ke fasa lima menyasarkan pelbagai pihak di empat zon utama iaitu dari Sungai Gombak sehingga Sungai Klang.

 

“GEC ialah perunding bukan kerajaan (NGO) yang dilantik membantu komuniti setempat dalam memahami projek Sungai Nadi Kehidupan supaya matlamat bersama menangani masalah pencemaran sungai dapat berlangsung dengan jaya.

“Pelbagai peringkat golongan kami dekati termasuk pelajar sekolah, pihak peniaga mahupun pemilik komersial selain penduduk yang tinggal berdekatan sungai.

“Kaedah mendekati juga berbeza mengikut kumpulan sasaran. Kalau di pusat komersial seperti Brem Mall dan Melawati Mall, kita letakkan bahan pameran berbentuk interaktif selain pengedaran risalah agar dapat menarik pelbagai kumpulan pengunjung.

“Dalam pada itu untuk generasi Y atau golongan muda, kami anjurkan kempen foto dan kongsi dalam laman sosial untuk memberi peluang mereka memenangi hadiah,” katanya ketika pameran di Brem Mall Kepong, baru-baru ini.

Bukan sekadar menekankan aspek kebersihan sungai semata-mata, malah kata Adeline, pemahaman orang awam terhadap usaha membantu pihak berkuasa tempatan terhadap penyelenggaraan saliran dan sisa pepejal juga penting.

“Penyumbang utama kejayaan projek ini tentu saja orang awam yang terbabit secara langsung dengan sungai terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan itu. Mereka perlu memastikan saliran dan aliran dari rumah ke sungai tidak dicemari sisa pepejal.

“Terbaru kami lancarkan aplikasi Citizen’s Eye berfungsi sebagai platform terpantas buat penduduk sekitar untuk melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan seperti pembuangan sisa industri ke dalam sungai dan sebagainya.

“Mereka hanya perlu muat turun aplikasi dan ikuti langkah seperti merakam gambar dan terus kongsikan ‘feed’ terbabit ke saluran pengaduan yang turut bersambung dengan rangkaian pihak berkuasa. Kita berharap masyarakat menjadi ‘mata’ kepada pihak berkuasa untuk membantu menjaga persekitaran supaya bersih dan selamat,” katanya.

[ Back ] [ Print Friendly ]